Thursday, February 9, 2017

Apa itu Harta Sepancarian?

           Bidangkuasa Mahkamah
    Harta Sepencarian merupakan bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan kepada Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002Seksyen 122 (1) dan (3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 dan Arahan Amalan JKSM No. 6 Tahun 2003. (Peruntukan undang-undang mungkin berbeza mengikut Enakmen negeri masing-masing).
           Apa yang boleh dituntut?
       Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 memberikan tafsiran maksud harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh bersama oleh suami dan isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak

Secara ringkas, harta yang boleh dituntut ialah harta tidak alih (contoh: hartanah) dan harta alih (contoh: wang tunai, perabot, dan kenderaan) yang diperolehi dan dibeli oleh pihak-pihak secara bersama sepanjang dalam tempoh perkahwinan.

Rujuk kes Yang Chik Binti Hashim lwn Abdul Jamal Bin Abdul Rahim (1985) JH 6/1 146 ] di mana Kadi Besar Wilayah Persekutuan, Sheikh Ghazali Bin Hj Abdul Rahman (ketika itu) menyatakan seperti berikut:-

"Konsep harta sepencarian ialah harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan dengan masing-masing suami isteri sama-sama menyumbang tenaga atau wang ringgit untuk mendapat harta tersebut".

Biasanya Mahkamah akan melihat perkara-perkara berikut untuk kes hartanah:-

a. Siapa yang bayar deposit rumah?
b. Siapa yang bayar fi guaman Perjanjian Jual Beli & Pindahmilik?
c. Siapa yang buat pinjaman perumahan?
d. Siapa yang bayar fi guaman Gadaian?
e. Siapa yang bayar ansuran bulanan pinjaman perumahan?
f. Siapa yang bayar bil utiliti seperti bil air, bil elektrik, bil astro, bil unifi, bil maintenance etc?
g. Siapa yang bayar cukai tanah, cukai harta?
h. Siapa yang beli perabot dan barang elektrik dalam rumah?
i. Siapa yang tanggung kos renovasi?
dan lain-lain

Untuk kes kereta:-

a. Siapa yang bayar deposit kereta?
b. Siapa yang buat pinjaman Hire Purchase?
c. Siapa yang bayar ansuran bulanan pinjaman?
d. Siapa yang isi minyak?
e. Siapa yang tanggung perbelanjaan maintenance?
f. Siapa yang bayar insurans?
g. Siapa yang bayar road tax?
dan lain-lain

Jika kesemua perbelanjaan ini ditanggung oleh satu pihak sahaja, contoh suami maka pihak isteri hendaklah membuktikan sumbangannya kepada rumah tangga secara tidak langsung seperti:-

a. Sudah berhenti kerja yang bagus selepas berkahwin dan melahirkan anak;
b. Menjaga anak-anak 24/7 tanpa perlu lagi hantar anak kepada Pengasuh;
c. Menyediakan makan minum pakaian dengan lengkap dan sempurna untuk suami;
d. Menjaga kebersihan rumah dan membuat kerja-kerja rumah dengan sempurna;
e. Menyokong kerjaya suami etc
dan lain-lain

Selepas menimbangkan perkara di atas, Mahkamah akan menentukan sama ada suami dan isteri berkongsi harta tersebut sebagai harta sepancarian pada kadar 1/2:1/2 atau 1/3:2/3 bergantung kepada fakta kes. 

Jika kesemua perbelanjaan ini ditanggung oleh isteri sahaja dan suami memang tidak sumbangkan apa-apa kecuali goyang kaki dan harapkan isteri kemungkinan besar ia tidak akan diiktiraf sebagai harta sepencarian dan dianggap harta mutlak si isteri seorang. 

Rujuk kes Zarah lwn Idris JH 5/1 (1984) 186 di mana Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru memutuskan bahawa tuntutan Plaintif (bekas isteri) terhadap sebuah rumah sebagai harta sepencarian bersama Defendan telah ditolak oleh Mahkamah kerana pihak Plaintif tidak mempunyai sumbangan dalam pemerolehan harta tersebut sama ada daripada segi material atau moral

Rujuk juga  kes Anita lwn Zainuddin Ariffin (1982) 4 JH 73 yang dirujuk dalam kes di atas di mana Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan telah memberikan garis panduan pembahagian harta sepencarian seperti berikut:-

"Jika ada keterangan yang cukup, siapa yang mengusahakan harta itu, maka harta tersebut akan diberikan kepadanya".

           Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment