Friday, July 22, 2016

Proses Perceraian (Bukan Islam) di Malaysia : Bahagian 1

Selamat Sejahtera.

Dalam entry kali ini, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang perlu anda ambil tahu sekiranya anda ingin mengfailkan Petisyen Perceraian. Entry ini khas untuk Proses Perceraian (Bukan Islam) di Malaysia.

Tahukah anda terdapat beberapa syarat yang mesti dipatuhi sebelum Petisyen Perceraian difailkan? Berikut ialah pra-syaratnya.

1) Petisyen Perceraian hanya boleh difailkan selepas tamat tempoh dua (2) tahun dari tarikh perkahwinan; DAN
2) Pempetisyen juga hendaklah mendapatkan Sijil Perakuan yang dikeluarkan oleh  Tribunal Perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berdekatan dengan tempat tinggal terakhir mereka. 

Untuk makluman, pengecualian bagi pra-syarat 2 diatas diberikan dalam keadaan kes seperti berikut:-

1) Salah satu pihak dalam perkahwinan memeluk agama Islam; ATAU
2) Kedua-dua pihak bersetuju dengan perceraian ini. 

*saya akan terangkan kes-kes pengecualian ini dalam entry yang lain.

Jadi bagaimana untuk memohon atau mendapatkan Sijil Perakuan yang dikeluarkan oleh  Tribunal Perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?

1) Anda hendaklah hadir sendiri di mana-mana Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara yang berhampiran dengan tempat tinggal anda. 

2) Isi borang JPNKC-14 iaitu Borang Permohonan Rujukan ke Tribunal Perkahwinan. Jangan lupa untuk bawa salinan MyKad dan Sijil Pendaftaran Perkahwinan yang asal.

3) Anda akan dikehendaki untuk membayar fee pemprosesan sebanyak RM2.00

4) Pihak Tribunal Perkahwinan akan menghantar surat panggilan sesi kaunseling kepada kedua-dua pihak sama ada secara bersesama dan/atau berasingan. Sekiranya pihak Tribunal Perkahwinan tidak dapat mendamaikan kedua-dua belah pihak, barulah Tribunal Perkahwinan akan mengeluarkan Sijil Perakuan.

5) Anda akan dikehendaki untuk membayar fee pemprosesan sebanyak RM20.00

*tempoh untuk mendapatkan Sijil Perakuan Tribunal Perkahwinan ini lebih kurang 6-7 bulan.

Seterusnya?

Bawa kesemua dokumen yang berkaitan seperti Sijil Pendaftaran Perkahwinan, Sijil Perakuan Tribunal Perkahwinan, Sijil Kelahiran @ MyKid @ MyKad anak-anak, Geran Hakmilik Harta Tidak Alih (tanah dan rumah) dan Dokumen Harta Alih (Penyata Akaun Bersama, Kereta, Motor atau Perniagaan) kepada Peguam untuk tujuan pemfailan Petisyen Perceraian. Mereka akan bertindak bagi pihak anda sehingga kes selesai. Mudahkan.

Jika anda ada sebarang pertanyaan, boleh tinggalkan komen di bawah atau bagi mereka yang mahukan privasi, boleh emelkan terus kepada adibah.farahani@gmail.com. 

Thanks & Regards.