Wednesday, September 28, 2016

Prosedur Tuntutan Perceraian (Orang Islam): Bahagian 1

Assalamualaikum w.b.t.

Adalah menjadi impian setiap pasangan yang telah berkahwin agar hubungan yang dibina di atas perjanjian ijab qabul berterusan sehingga ke akhir hayat. Walaubagaimanapun, sering wujud ketidaksefahaman yang akhirnya memerlukan ikatan perkahwinan tersebut dirungkaikan dan perceraian menjadi pilihan yang terbaik bagi kedua-dua belah pihak. 

Hari ini saya akan memberikan gambaran bagaimana prosedur tuntutan perceraian boleh dibuat. 

1. Suami atau isteri boleh ke Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggal dan berjumpa dengan mana-mana kakitangan yang bertugas di Kaunter Pendaftaran bagi mendapatkan senarai semak dokumen bagi mengfailkan tuntutan perceraian.

2. Kakitangan Mahkamah akan memberikan Senarai Semak Dokumen, Borang Maklumat Diri dan Pernyataan Tuntutan untuk dilengkapkan oleh tuan/puan.

Contoh Pernyataan Tuntutan yang paling ringkas adalah seperti berikut:-

DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH MELAKA TENGAH/JASIN/ALOR GAJAH
DALAM NEGERI MELAKA, MALAYSIA
                                     KES MAL NO :  XXXXX - 055 - XXX - TAHUN XXXX                      

ANTARA
 .....................................................            ...                         PLAINTIF
DENGAN
 .....................................................            ...                            DEFENDAN

PERNYATAAN  TUNTUTAN

1. Plaintif ialah ...................................................... (No. K/P:........................) yang beralamat di  ............................................................................................ adalah suami/isteri kepada Defendan

2. Defendan ialah .................................................... (No. K/P:........................) yang beralamat di  ............................................................................................. adalah suami/isteri kepada Plaintif.


3. Plaintif telah bernikah dengan Defendan pada ................................................... di ................................................................................ bil daftar nikah ..................

4.  Hasil perkongsian hidup Plaintif bersama Defendan, kami telah dikurniakan ............................ orang            anak / tidak dikurniakan anak.
        Nama                         No K/P @ Surat Beranak     Umur
      4.1                   .................................................   ....................................     ............
4.2                   .................................................   ....................................     ............
4.3                   .................................................   ....................................     ............
4.4                   ................................................    ....................................     ............
4.5                   ................................................    ....................................     ............

5.   Plaintif menyatakan kepada Mahkamah yang mulia ini bahawa Plaintif sudah tidak ada lagi persefahaman untuk hidup bersama dengan Defendan. Oleh yang demikian Plaintif memohon kepada mahkamah yang mulia ini agar Mahkamah meluluskan perceraian antara Plaintif dan Defendan berdasarkan alasan-alasan seperti berikut :

5.1                   ............................................................................................................
5.2                   ............................................................................................................
5.3                   ............................................................................................................
5.4                   ............................................................................................................

6.   Oleh yang demikian, Plaintif memohon kepada Mahkamah yang mulia ini perintah-perintah seperti berikut :

6.1                   Mahkamah meluluskan permohonan cerai yang dibuat.

Bertarikh : ………………………………………..


                                                                ……………......……..
Tandatangan  Plaintif

3. Tuan/Puan boleh mengisi sendiri Borang Maklumat Diri, Pernyataan Tuntutan dan menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan sebelum mengembalikannya semula kepada Kaunter Pendaftaran Mahkamah dengan bayaran pemprosesan yang minima. 

4. Antara dokumen-dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut:-
  • salinan Kad Pengenalan Suami
  • salinan Kad Pengenalan Isteri
  • salinan Sijil Nikah/Ruju' 
  • salinan Sijil Kelahiran/MyKid Anak-Anak (jika ada)
  • Surat Pengesahan Pemastautinan (sekiranya alamat di Kad Pengenalan di luar kawasan bidangkuasa Mahkamah)
  • Surat Laporan Rundingcara Kekeluargaan daripada Jabatan Agama Islam Negeri (jika ada melalui proses kaunseling sebelum mengfailkan tuntutan perceraian)
5. Selepas menerima Pernyataan Tuntutan tersebut, Kaunter Pendaftaran akan mendaftarkan kes tuan/puan dan memberikan tarikh Majlis Sulh (Mediasi)

6. Pihak tuan/puan dikehendaki hadir pada Majlis Sulh tersebut. 

SECARA ALTERNATIF, 

Pihak tuan/puan boleh memilih untuk melantik mana-mana Peguam Syarie dan Peguam Syarie ini akan menyediakan kesemua kertas kausa bagi pihak tuan/puan terutamanya dalam situasi fakta kes yang terlalu rumit dan/atau sekiranya pihak tuan/puan terlalu sibuk dengan tuntutan kerjaya.

Pihak tuan/puan hanya perlu hadir ke Mahkamah untuk tujuan membaca Wakalah Peguam Syarie (Perlantikan Peguam Syarie), pada hari sebutan/bicara dan urusan lain akan diuruskan oleh Peguam Syarie yang dilantik.

*********************************************************************************

Jika kedua-dua belah pihak hadir dalam Majlis Sulh dan pihak suami bersetuju untuk menceraikan si isteri, Pegawai Sulh akan menetapkan prosiding melafazkan perceraian di hadapan Hakim. Maka, jatuhlah talak dan Mahkamah akan memerintahkan supaya Perakuan Perceraian diisukan kepada pihak tuan/puan.(Anggaran tempoh masa selesai ialah 3 bulan)

Walaubagaimanapun, sekiranya kedua-dua belah pihak hadir dalam Majlis Sulh dan pihak suami/isteri tidak bersetuju dengan perceraian tersebut, prosedur seterusnya akan mengambil masa yang lebih rumit dan panjang di mana ia melibatkan Jawatankuasa Pendamai dan Hakam. (Anggaran tempoh masa selesai ialah 6-12 bulan)

Namun, sekiranya sejak dari awal pihak tuan/puan telah melantik Peguam Syarie, sudah tentu Peguam Syarie akan memberikan nasihat supaya tidak memfailkan Tuntutan Perceraian jika diketahui suami/isteri tidak setuju. Sebaliknya menggunakan proses mahkamah yang lain.

Sekiranya terdapat apa-apa pertanyaan, boleh tinggalkan komen di bawah atau bagi mereka yang mahukan privasi, boleh emelkan terus kepada saya adibah.farahani@gmail.com 

Terima kasih. 


Friday, July 22, 2016

Proses Perceraian (Bukan Islam) di Malaysia : Bahagian 1

Selamat Sejahtera.

Dalam entry kali ini, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang perlu anda ambil tahu sekiranya anda ingin mengfailkan Petisyen Perceraian. Entry ini khas untuk Proses Perceraian (Bukan Islam) di Malaysia.

Tahukah anda terdapat beberapa syarat yang mesti dipatuhi sebelum Petisyen Perceraian difailkan? Berikut ialah pra-syaratnya.

1) Petisyen Perceraian hanya boleh difailkan selepas tamat tempoh dua (2) tahun dari tarikh perkahwinan; DAN
2) Pempetisyen juga hendaklah mendapatkan Sijil Perakuan yang dikeluarkan oleh  Tribunal Perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berdekatan dengan tempat tinggal terakhir mereka. 

Untuk makluman, pengecualian bagi pra-syarat 2 diatas diberikan dalam keadaan kes seperti berikut:-

1) Salah satu pihak dalam perkahwinan memeluk agama Islam; ATAU
2) Kedua-dua pihak bersetuju dengan perceraian ini. 

*saya akan terangkan kes-kes pengecualian ini dalam entry yang lain.

Jadi bagaimana untuk memohon atau mendapatkan Sijil Perakuan yang dikeluarkan oleh  Tribunal Perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?

1) Anda hendaklah hadir sendiri di mana-mana Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara yang berhampiran dengan tempat tinggal anda. 

2) Isi borang JPNKC-14 iaitu Borang Permohonan Rujukan ke Tribunal Perkahwinan. Jangan lupa untuk bawa salinan MyKad dan Sijil Pendaftaran Perkahwinan yang asal.

3) Anda akan dikehendaki untuk membayar fee pemprosesan sebanyak RM2.00

4) Pihak Tribunal Perkahwinan akan menghantar surat panggilan sesi kaunseling kepada kedua-dua pihak sama ada secara bersesama dan/atau berasingan. Sekiranya pihak Tribunal Perkahwinan tidak dapat mendamaikan kedua-dua belah pihak, barulah Tribunal Perkahwinan akan mengeluarkan Sijil Perakuan.

5) Anda akan dikehendaki untuk membayar fee pemprosesan sebanyak RM20.00

*tempoh untuk mendapatkan Sijil Perakuan Tribunal Perkahwinan ini lebih kurang 6-7 bulan.

Seterusnya?

Bawa kesemua dokumen yang berkaitan seperti Sijil Pendaftaran Perkahwinan, Sijil Perakuan Tribunal Perkahwinan, Sijil Kelahiran @ MyKid @ MyKad anak-anak, Geran Hakmilik Harta Tidak Alih (tanah dan rumah) dan Dokumen Harta Alih (Penyata Akaun Bersama, Kereta, Motor atau Perniagaan) kepada Peguam untuk tujuan pemfailan Petisyen Perceraian. Mereka akan bertindak bagi pihak anda sehingga kes selesai. Mudahkan.

Jika anda ada sebarang pertanyaan, boleh tinggalkan komen di bawah atau bagi mereka yang mahukan privasi, boleh emelkan terus kepada adibah.farahani@gmail.com. 

Thanks & Regards.